fb fb fb fb fb

Malaysia di kedudukan terbaik manfaat AI, tingkat produktiviti pekerja

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong/Foto RTM

SHAH ALAM, 16 Disember - Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), didorong akses yang semakin mudah dan mampu milik bagi meningkatkan produktiviti pekerja.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, perkara itu selari dengan kedudukan Malaysia yang kini menjadi tumpuan serantau dari segi pelaburan dalam AI serta pembangunan infrastruktur data.

"Di kebanyakan negara, persoalan AI bukan sahaja mengenai peningkatan produktiviti, tetapi juga pengurangan tenaga kerja. Bagi Malaysia, kita berada pada tahap yang sesuai kerana kita masih mempunyai jutaan pekerja asing tidak berkemahiran, yang boleh digantikan dengan teknologi.

''Ini sekali gus membuka ruang kepada penciptaan pekerjaan baharu yang bernilai tinggi, berasaskan pengetahuan atau sekurang-kurangnya berteraskan teknologi,” katanya.

Tambah beliau, industri tempatan juga digalakkan melabur dalam penggunaan AI dan teknologi lain bagi meningkatkan produktiviti negara, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing tidak berkemahiran.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program AI untuk Produktiviti 2025 di sini, hari ini.

Program itu bertujuan memperkukuh kompetensi tenaga kerja melalui kemahiran digital dan AI, membantu syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengoptimumkan operasi menerusi automasi serta pemanfaatan data.

Ini selain mewujudkan budaya organisasi yang berteraskan inovasi, analitik dan penambahbaikan berterusan.

Inisiatif itu selari dengan tumpuan kerajaan terhadap pelaksanaan pendigitalan dan penerimagunaan AI sebagai pemacu transformasi industri negara menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN