KUALA LUMPUR, 17 Disember - Laporan berkaitan Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) bagi sistem Aerotrain KLIA dijadualkan diumumkan pada pertengahan Januari 2026.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan CAP Tahap 1 dan Tahap 2 yang merangkumi pemeriksaan menyeluruh, kerja-kerja pembetulan serta ujian simulasi, telah berjaya diselesaikan.
Pada masa ini, kerja-kerja pengesahan dan pembetulan sedang dijalankan bagi memastikan integriti sistem serta keselamatan operasi.
"Operasi percubaan Tahap 3 akan dimulakan seperti yang dirancang dan diteruskan sehingga akhir Disember, iaitu sistem akan diuji di bawah pelbagai senario operasi.
Ujian percubaan ini merupakan bahagian kritikal bagi mengesahkan keberkesanan langkah-langkah pembetulan sebelum keyakinan operasi sepenuhnya dipulihkan," jelas MAHB.
CAP yang dimulakan pada 15 November lalu diterajui oleh Pasukan Projek Malaysia Airports dan disertai kontraktor Alstom serta IJMC-PESTECH Joint Venture (IPJV), perunding projek, dan penilai teknikal bebas.
MAHB turut memaklumkan perkhidmatan Aerotrain akan terus beroperasi seperti biasa pada waktu siang.
“Bagi memastikan pergerakan penumpang tidak terganggu, perkhidmatan bas ulang-alik disediakan pada waktu luar puncak bermula 9.00 malam hingga 7.00 pagi bagi menyokong pelaksanaan kerja-kerja pengesahan yang sedang dijalankan.
MAHB kekal komited memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang serta mengekalkan piawaian operasi tertinggi,” tambahnya dalam kenyataan sama.
Kemas kini rasmi Aerotrain seterusnya dijangka dikongsikan pada Januari 2026.