SEPANG, 22 Julai – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terus mengorak langkah dalam transformasi digitalnya dengan memperkenalkan perkhidmatan 'Airport FastTrack' yang dinaik taraf di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd Izani Ghani, inisiatif ini sebagai sebahagian daripada strategi pendigitalan yang menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman penumpang.
“Strategi kami jelas iaitu mahu menjadikan KLIA sebagai hab global dengan pengalaman perjalanan yang lancar dan mudah. Ini bukan sekadar mempercepatkan proses, tetapi membina ekosistem pintar yang melibatkan semua rakan strategik untuk memastikan perkhidmatan cekap, konsisten dan penuh keprihatinan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran 'Airport FastTrack Evolution' di KLIA.
Selain memberi kemudahan kepada pelancong, ia juga terbukti memainkan peranan penting dalam mengurus logistik berskala besar.
Ini termasuk pengendalian pergerakan dalaman untuk delegasi ASEAN dan pelbagai acara bertaraf antarabangsa yang lain.
Penaiktarafan 'Airport FastTrack' ini merupakan salah satu inisiatif yang sedang dilaksana MAHB dalam usaha menjadikan KLIA sebagai hab penerbangan global bertaraf dunia.