KUALA LUMPUR, 29 Ogos- Mah Sing Group Bhd yakin sasaran jualan minimum RM2.5 bilion tahun ini dapat dicapai.
Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Group Bhd. Datuk Voon Tin Yow yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan kemajuan yang signifikan dengan pelancaran pelbagai projek dan kerjasama yang strategik.
"Kami yakin dapat mencapai sasaran RM2.5 bilion tahun ini dengan projek kami yang kukuh. Pada masa yang sama, kami telah mengembangkan perniagaan kami ke dalam sektor pusat data. Ini akan menandakan peralihan strategik bagi syarikat untuk menjana pendapatan rekod yang akan melengkapkan model perniagaan tradisional kami, iaitu bina dan jual.
"Produk kami mempunyai pasaran meluas untuk memenuhi keperluan, mampu milik dan gaya hidup pelanggan", katanya kepada pemberita di sini.
Selain projek perumahan Residensi Suria Madani yang bernilai RM200,000 seunit dengan keluasan 800 kaki persegi di Taman Desa, Mah Sing Group juga turut melancarkan projek perumahan M Aspira yang berkeluasan sehingga 1,000 kaki persegi dengan harga mampu milik.
"M Aspira adalah projek seluas 3.7 ekar, 1600 unit, kami menyediakan pelbagai kemudahan termasuk projek yang bakal dilancarkan tidak lama lagi", ujar Ketua Pegawai Eksekutif Subsidiari Hartanah Mah Sing Group Bhd. Yeoh Chee Beng.
Dalam pada itu, Datuk Voon Tin Yow turut memaklumkan sebanyak lapan projek pembangunan tanah sejak tahun 2023 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM10 bilion.
Ia termasuk projek M Aspira di Taman Desa, M Azura di Setapak, M Zenya di Kepong, M Terra and M Hana di Puchong, M Legasi di Semenyih, serta MSS Business Park di Sepang dan M Tiara 1 dan 2 di Johor.