KUALA LUMPUR, 5 Julai- Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk kepada Malaysia Airlines, menempah 20 lagi pesawat A330neo secara terus dengan Airbus.
Tempahan terbaharu ini mengukuhkan komitmennya terhadap strategi jangka panjang yang memberi tumpuan kepada pembaharuan armada dan pembangunan rangkaian penerbangan.
'"Pemerolehan terbaharu ini bakal menjadikan Malaysia Airlines sebagai salah satu pengendali A330neo terbesar di rantau Asia Pasifik, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan premium utama dalam salah satu pasaran perjalanan yang berkembang pesat di dunia,” jelas MAG dalam satu kenyataan.
Pesanan baharu ini adalah lanjutan daripada komitmen awal MAG pada tahun 2022 untuk memperoleh 20 pesawat A330neo.
Ia merangkumi 10 pesawat yang dibeli secara terus dan 10 disewa daripada syarikat Avolon, menjadikan jumlah keseluruhan komitmen MAG kepada 40 pesawat setakat ini.
Penghantaran bagi kumpulan tambahan ini dijadualkan bermula dari tahun 2029 hingga 2031.
Setakat ini, MAG telah menerima empat pesawat A330neo yang kini beroperasi bagi laluan terpilih ke Auckland, Melbourne dan Bali.
Enam lagi pesawat dijadualkan diterima menjelang akhir tahun ini, manakala baki pesawat daripada tempahan asal akan dihantar secara berperingkat sehingga tahun 2028.