fb fb fb fb fb

Kos bahan binaan meningkat, jejas harga hartanah - Rehda

Presiden Rehda, Datuk Nk Tong

PETALING JAYA, 14 Mac - Harga hartanah di Malaysia dijangka terus meningkat bagi separuh pertama tahun ini berikutan kenaikan kos bahan binaan.

Presiden Rehda, Datuk Nk Tong berkata 91 peratus daripada responden tinjauan industri hartanah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) separuh kedua 2023 dan Unjuran Pasaran 2024 berpendapat, tahun 2023 menyaksikan harga bahan binaan mula memuncak berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam peratus ke lapan peratus turut memberi impak kepada kenaikan kos tersebut.

"Sudah tentu kenaikan SST memberi kesan kepada semua, kita mengharapkan ekonomi negara kekal kukuh, namun sekiranya ia memberi impak kepada pasaran hartanah, kami tidak punya pilihan kerana berhadapan kos bahan binaan yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Tong berkata peserta pasaran hartanah kekal neutral terhadap prospek perniagaan serta industri hartanah untuk separuh pertama 2024 tetapi lebih optimistik tentang pasaran pada separuh kedua 2024.

"Ini boleh difahami dengan mengambil kira cabaran industri tetapi keyakinan yang lebih tinggi untuk separuh kedua tahun ini menunjukkan bahawa responden dan pemaju pada umumnya masih yakin bahawa pasaran akan bertambah baik," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN