fb fb fb fb fb

Kontrak niaga hadapan emas dijangka didagangkan tinggi minggu depan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 2 Disember- Kontrak niaga hadapan emas yang didagangkan di Bursa Malaysia Derivatives dijangka tinggi minggu depan berikutan pasaran menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan meneruskan mengurangkan kadar faedah, kata rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes.

“Bagaimanapun, minggu depan semuanya bergantung kepada kedudukan dolar US. Euro kelihatan mengalami ketidaktentuan disebabkan oleh data ekonomi yang lebih lemah dan normalisasi data inflasi.

“Saya menjangkakan harga emas untuk minggu depan ialah antara US$2,025 dan US$2,050 setiap auns troy,” katanya.

Logam berharga itu kekal disokong oleh prospek pengurangan kadar faedah oleh Fed pada 2024, katanya.

“Ketidakpastian berterusan dalam persekitaran risiko geopolitik seperti ketegangan Rusia-Ukraine, Timur Tengah, pilihan raya presiden AS yang akan datang dan kesan kelembapan ekonomi daripada kadar faedah yang lebih tinggi yang berpanjangan,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata pasaran kekal positif menjelang 2024 dan dijangkakan bahawa bank pusat akan terus beralih kepada emas sebagai lindung nilai terhadap dolar US yang dijangka lebih lemah.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, jumlah dagangan niaga hadapan emas domestik susut kepada 686 lot daripada 700 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 245 kontrak daripada 452 kontrak.

Berasaskan mingguan, kontrak bulan Disember 2023 meningkat kepada US$2,065.60 setiap auns troy daripada US$2,006.20 setiap auns troy minggu lepas dan Januari 2024 melonjak kepada US$2,076.10 setiap auns troy berbanding US$2,015.10 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak bagi Februari, April 2024 dan Jun 2024 masing-masing ditutup tinggi pada US$2,076.10 setiap auns troy daripada US$2,023.60 setiap auns troy minggu sebelumnya.

Harga emas fizikal adalah US$2,035.45 setiap auns troy, menurut penetapan tengah hari pada 30 November 2023 oleh Persatuan Pasaran Jongkong London.- BERNAMA

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM