fb fb fb fb fb

KLSICCI cadang peluasan SST bersasar, berperingkat bagi lindungi PMKS, B40

Foto fail

KUALA LUMPUR, 14 Jun - Kerajaan dicadang mengguna pakai pendekatan strategik, inklusif dan secara berperingkat dalam peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) Nivaas Ragavan berkata, ia bagi mengelak beban yang tidak diingini ke atas kumpulan yang mudah terjejas serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya, hasrat fiskal kerajaan bagi mengukuhkan hasil negara dan memastikan kemampanan jangka panjang, peluasan pelaksanaan SST perlu bersifat “bersasar, saksama dan progresif”.

"Daripada mengenakan cukai secara meluas ke atas barangan atau perkhidmatan keperluan yang digunakan oleh rakyat setiap hari, terutamanya kumpulan B40 dan M40 pertengahan bawah, kami mencadangkan peluasan SST ditumpukan kepada barangan mewah, import bukan keperluan dan perkhidmatan mewah pilihan,” katanya dalam kenyataan.

Nivaas berkata langkah sedemikian akan memastikan struktur cukai yang lebih adil, membolehkan golongan yang berkemampuan menanggung bahagian yang lebih besar daripada beban cukai selain melindungi kos sara hidup purata keluarga Malaysia.

"KLSICCI menyokong visi kerajaan untuk asas cukai yang lebih kukuh. Bagaimanapun, kami menggesa pendekatan yang strategik, berasaskan rundingan dan adil, yang melindungi kepentingan rakyat dan kemampanan ekosistem perniagaan, terutamanya PMKS kita yang menjadi teras ekonomi," katanya.

Kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan (CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) mulai 1 Julai ini untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah ini bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Secara amnya, semakan kadar CJ dan peluasan skop CP merangkumi perkara berikut iaitu kadar CJ kekal tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas yang digunakan oleh rakyat dan kadar CJ sebanyak lima peratus atau 10 peratus dikenakan ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas.

Skop CP diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Peluasan ini disertakan dengan pengecualian terpilih untuk mengelak cukai berganda serta memastikan perkhidmatan keperluan tertentu untuk warganegara Malaysia tidak dikenakan cukai.

TETITIA YUSOFF