fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dijangka kekal dalam julat berhati-hati minggu depan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 15 Jun- Bursa Malaysia dijangka terus berada dalam julat berhati-hati antara 1,500 hingga 1,530 mata minggu depan, susulan tekanan berterusan daripada ketidaktentuan luaran.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata ia dipengaruhi kebimbangan terhadap ketegangan geopolitik, termasuk cadangan tarif oleh Amerika Syarikat (AS), serta ketegangan geopolitik yang memuncak selepas serangan Israel ke atas Iran.

Jelas beliau, ketegangan itu boleh memberi kesan ketara kepada pasaran serantau termasuk Malaysia, jika tiada perkembangan positif untuk meredakan konflik itu.

"Pasaran kekal mudah terjejas susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, termasuk cadangan tarif oleh Amerika Syarikat dan konflik melibatkan Israel dan Iran, yang jika tidak dibendung, boleh memberi kesan ketara kepada pasaran serantau termasuk Malaysia," kata Mohd Sedek.

Sementara itu, daripada sudut taktikal, sektor minyak dan gas dilihat sebagai antara segmen yang berpotensi untuk pelabur jangka pendek.

"Dari aspek taktikal, saham minyak dan gas dijangka menawarkan peluang dagangan jangka pendek terutamanya untuk syarikat yang terlibat dalam aktiviti huluan atau yang sedang memperluas konsesi huluan mereka berikutan mereka berpotensi mendapat manfaat secara langsung daripada kenaikan harga minyak semasa," katanya.

Tambah beliau, pelabur digalakkan mengambil manfaat ke atas pergerakan harga komoditi berkenaan namun dengan strategi dagangan yang berwaspada.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia bermula dalam julat positif pada awal minggu ini, didorong oleh perkembangan positif dalam rundingan perdagangan AS-China, pembelian saham oleh institusi tempatan dan aktiviti jualan oleh pelabur asing yang perlahan.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks barometer meningkat 1.32 mata kepada 1,518.11 daripada 1,516.79 pada minggu sebelumnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM