KUALA LUMPUR, 1 Mac- Pasaran niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam mod berhati-hati minggu depan tetapi masih mendapat sokongan yang baik dengan mengambil petunjuk daripada niaga hadapan emas COMEX AS.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata dengan ketegangan perang perdagangan yang semakin memuncak dan potensi kelemahan ekonomi yang semakin mendalam memaksa Rizab Persekutuan AS melonggarkan kitaran kadarnya secara lebih agresif, emas sepatutnya mendapat sokongan yang kukuh pada paras semasa.
"Keadaan ini menunjukkan kemungkinan zon pengukuhan emas antara AS$2,840 dan AS$2,890 pada minggu depan apabila peniaga menyeimbangkan risiko pertumbuhan dengan jangkaan dasar monetari," katanya kepada Bernama.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Februari 2025 susut kepada AS$2,861.0 setiap auns troy daripada AS$2,926.40 setiap auns troy pada akhir minggu lalu, manakala kontrak Mac 2025 jatuh kepada AS$2,867.20 setiap auns troy daripada AS$2,933.30 setiap auns troy sebelumnya.
Kontrak April, Mei dan Jun 2025 semuanya ditutup lebih rendah kepada AS$2,879.90 setiap auns troy daripada AS$2,943.50 setiap auns troy pada minggu lepas.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 251 lot daripada 289 lot pada minggu lepas, manakala kepentingan terbuka turun kepada 37 kontrak daripada 106 kontrak sebelum ini.
Menurut penetapan harga London Bullion Market Association pada 27 Februari, harga emas fizikal berada pada AS$2,880.80 setiap auns troy. -BERNAMA