KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Co-opbank Pertama (CBP) melancarkan Kempen Ar-Rahnu Cash Rewards yang menawarkan ganjaran tunai keseluruhan berjumlah sehingga RM200,000 kepada pelanggan Ar-Rahnu CBP.
Kempen yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2025 itu bertujuan menggalakkan orang ramai memanfaatkan kemudahan pajak gadai Islam patuh Syariah yang ditawarkan CBP selain penghargaan buat pelanggannya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar, pemenang utama bakal membawa pulang wang tunai RM10,000, diikuti tiga pemenang yang akan menerima RM5,000 setiap seorang.
Manakala 175 pemenang lain akan menerima RM1,000 setiap seorang.
Cabutan bagi kempen ini dijadual berlangsung pada Januari 2026.
“CBP turut menyasarkan peningkatan pengeluaran pembiayaan Ar-Rahnu sebanyak 33 peratus daripada nilai sasaran bulanan menjelang Disember 2025,” katanya.
Kempen terbuka kepada semua pelanggan Ar-Rahnu CBP berumur 18 tahun ke atas, termasuk pelanggan baharu dan sedia ada, dengan pembiayaan minimum RM5,000.