fb fb fb fb fb

Kedudukan Malaysia dalam Daya Saing Dunia IMD 2025 akan bertambah baik - Tengku Zafrul

FOTO FB Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 22 Jun- Kedudukan Malaysia dalam senarai Ranking Daya Saing Dunia (WCR) IMD 2024 tidak menceminkan keseluruhan ekonomi negara pada tahun ini kerana ranking WCR 2024 kebanyakannya berdasarkan data 2023, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

"Jadi, kedudukan dalam WCR 2024 mencerminkan prestasi Malaysia pada 2023 berbanding 2022. Tapi ada beberapa komponen (ekonomi) yang sebenarnya meningkat tahun ini dan akan dicerminkan dalam ranking tahun depan," kata Tengku Zafrul menerusi Facebook beliau.

Sehubungan itu, beliau yakin kedudukan Malaysia akan bertambah baik berbanding 2024, dipacu oleh antaranya peningkatan eksport produk berteknologi tinggi.

Penurunan eksport berteknologi tinggi negara, yang mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam senarai itu merupakan situasi jangka pendek dan skor tersebut dijangka meningkat bagi ranking 2025.

Ini susulan terdapat banyak pelaburan baharu daripada syarikat elektrik dan elektronik (E&E) sedia ada di Malaysia serta syarikat multinasional pada tahun ini.

"Kesemua (pelaburan) ini akan mula memberi kesan dalam (tempoh) 12 hingga 18 bulan akan datang dan akan menaikkan semula kedudukan kita," kata Tengku Zafrul menerusi Facebook beliau.

Beliau berkata, eksport berteknologi tinggi adalah produk dengan komponen penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang tinggi seperti dalam bidang aeroangkasa, komputer, farmaseutikal, instrumen saintifik, kimia dan mesin elektrik.

Penurunan bagi ranking 2024 berikutan penurunan eksport elektronik komunikasi adalah disebabkan penurunan permintaan global dan peningkatan persaingan global.

Contohnya, eksport berteknologi tinggi China dalam 10 bulan bagi 2023 susut 11.4 peratus tahun ke tahun kepada AS$728.2 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala Korea Selatan susut 28 peratus kepada AS$110 bilion, dan Jepun merosot 10 peratus kepada AS$76.9 bilion.

Dalam pada itu, beliau berkata, unjuran peningkatan jualan semikonduktor global tahunan sebanyak 16 peratus pada 2024 dan 12.5 peratus pada 2025 akan memberi manfaat kepada Malaysia sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia.

"Apabila permintaan untuk semikonduktor naik, maka secara automatik eksport berteknologi tinggi negara juga akan naik," jelas beliau.

Tengku Zafrul menambah pertumbuhan ekonomi yang stabil, kadar pengangguran yang terus berkurangan, serta inflasi yang terkawal akan meningkatkan kedudukan Malaysia pada masa akan datang.

Selain WCR 2024, terdapat banyak lagi kayu pengukur daya saing yang lain di peringkat global, seperti Global Competitiveness Report (GCR), Global Innovation Index (GII), Economic Freedom Index, dan lain-lain.

"Tapi pada masa yang sama tak bermakna kita akan abaikan dapatan WCR ini. Semua kayu pengukur ini boleh dijadikan indikator untuk kita meningkatkan lagi prestasi negara," katanya.

Media melaporkan, Malaysia turun tujuh anak tangga untuk menduduki tempat ke-34 daripada 67 negara dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, selepas berada di kedudukan ke-27 dalam indeks itu tahun lepas.

SITI AISHAH MD ISA