KUALA LUMPUR, 22 Jun - Penglibatan pelbagai pihak berkepentingan penting dalam meluaskan lagi pelaksanaan i-Tekad agar lebih tersusun dan efisien.
Pengarah Rangkuman Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Nor Rafidz Nazri berkata ia juga bagi menggalakkan kewangan sosial yang lebih inklusif dan memberi impak lebih positif pada masa hadapan.
"Kami di Bank Negara sentiasa mencari peluang untuk terus mengembangkan kewangan sosial termasuk inisiatif i-Tekad.
"Antaranya menganjurkan sesi libat urus yang berterusan bagi merealisasikan kerjasama pelbagai agensi dari segi meningkatkan dana kewangan sosial dan juga memperluaskan akses pasaran produk kepada para peserta kita dan kita juga sekarang sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam menerokai aspek perlindungan takaful dan insurans bagi memenuhi keperluan perlindungan para peserta," katanya.
Tambah Nor Rafidz, menerusi usaha tersebut, pihaknya berharap dapat membantu peserta membina tabiat pengurusan kewangan lebih baik.
Selain menjadi pengguna produk kewangan berhemah dalam mengembangkan perniagaan masing-masing.