KUALA LUMPUR, 5 Julai - Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan, disokong oleh operasi Bank Negara Malaysia menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Sepanjang minggu ini, bank pusat dalam operasi hariannya menawarkan tender repo berbalik dan tender repo berbalik Islam bagi mengurangkan lebihan dana dalam sistem kewangan.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional menyusut kepada RM23 bilion daripada RM30.6 bilion pada Jumaat lepas.
Dalam sistem kewangan Islam, lebihan mudah tunai menokok kepada RM27.9 bilion daripada RM18.8 bilion sebelumnya.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus pada 3 Julai, 2025. - BERNAMA