fb fb fb fb fb

RM60 bilion, Johor sasar pelaburan tambahan fasa ketiga PIPC

Foto Fail

ISKANDAR PUTERI, 28 November- Johor menyasarkan nilai pelaburan tambahan sebanyak RM60 bilion di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), Pengerang bagi pembangunan fasa ketiga.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, terdapat tujuh projek pelbagai dalam perancangan yang dijangka mampu direalisasikan dalam tempoh pembangunan fasa ketiga PIPC.

Antaranya pembinaan ladang solar, kilang penapisan bio dan fasiliti yang menghasilkan produk berkaitan nitro.

Kerajaan negeri juga katanya menyasarkan untuk menambah 10,000 peluang pekerjaan di PIPC, menjelang fasa 2026 - 2030.

"Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan bahawa pembangunan PIPC akan terus disokong melalui pemberian pakej galakan cukai khas atau elaun cukai pelaburan. Inisiatif ini adalah selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Chemical Industrial Roadmap 2030 di mana sektor kimia dan petrokimia merupakan salah satu sektor yang digalakkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini pada Selasa.

Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan Persekutuan mengumumkan PIPC, yang merupakan kawasan industri hiliran minyak dan gas dan industri petrokimia seluas 9,269 hektar di Pengerang, dijadikan hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia.

Kawasan PIPC menempatkan kemudahan seperti loji penapisan minyak, loji penghasilan petrokimia, terminal pengangkutan produk cecair, tangki-tangki penyimpanan minyak mentah dan produk petroleum cecair, loji penggasan semula serta prasarana dan kemudahan sokongan lain.

ZEHRA BINTI ZAMBRI