PETALING JAYA, 1 Oktober – Rakyat Malaysia berpendapatan rendah kini semakin proaktif dalam merancang kewangan peribadi, hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk kenaikan gaji minimum dan program pendidikan kewangan.
Kaji Selidik Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus 2025 (RMFLS 2025) mendapati, 55 peratus golongan berpendapatan bawah RM2,000 sebulan mula menabung untuk persaraan, meningkat berbanding 48 peratus pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew berkata 36 peratus responden mengelak menggunakan skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) selain menunjukkan kesedaran yang lebih tinggi terhadap skor kredit, menandakan langkah pengurusan hutang yang semakin baik.
Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew/Foto RTM
“Jika kita melihat kembali satu atau dua tahun kebelakangan ini, kenaikan gaji minimum telah dilaksanakan. Baru-baru ini, program RM100 MYSARA juga diperkenalkan. Jadi, anda boleh lihat bahawa inisiatif-inisiatif kerajaan ini memberi impak positif dalam meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran keputusan kaji selidik itu di sini hari ini.
Kaji selidik sama turut mendedahkan 23 peratus responden kumpulan M40 mampu menyimpan antara RM1,001 hingga RM1,500 sebulan, menurun daripada 29 peratus pada 2024.
Selain itu, 54 peratus daripada M40 berpendapat kedudukan kewangan mereka lebih baik berbanding tahun lalu, namun angka itu menyusut daripada 58 peratus pada 2024.
“Secara keseluruhan, hampir separuh daripada 3,000 responden menyatakan keadaan kewangan mereka kini lebih baik,” jelas Yuen.
Sementara itu, generasi muda mendahului kategori lain dengan 62 peratus menggunakan aplikasi digital dalam membuat perancangan dan keputusan kewangan, menjadikan mereka lebih proaktif serta bersedia menghadapi cabaran kewangan.