KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Belanjawan 2026 menyediakan peluang besar untuk negara beralih daripada hab perkilangan kepada hab pembangunan teknologi semikonduktor.
Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, pihaknya telah menggariskan beberapa syor utama untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2026.
Ia bertujuan memastikan daya saing negara terus diperkukuh dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar.
Beliau yakin, inisiatif yang digariskan berupaya mempercepat pelaksanaan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa besar semikonduktor global.
"Antara cadangan utama termasuk langkah menguruskan peningkatan kos perniagaan melalui pelepasan duti setem merangkumi kontrak pekerjaan dan antara syarikat.
"Selain itu, pelepasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk sektor perniagaan ke perniagaan yang lebih luas serta pelepasan untuk industri berintensif modal," katanya.
Dalam aspek perdagangan, MSIA mencadangkan dasar mempelbagaikan pasaran eksport, geran bagi memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta pengenalan Qualified Refundable Tax Credit (QRTC) bagi mengimbangi kesan Cukai Minimum Global dan mengekalkan daya tarikan pelaburan di Malaysia.
Bagi pembangunan bakat, industri menyarankan pengenalan peruntukan khas bagi memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI) di sekolah dan universiti.
MSIA juga berharap Belanjawan 2026 akan menyediakan sokongan strategik dalam bidang penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI).
''Semikonduktor merupakan tulang belakang teknologi moden yang menggerakkan AI, rangkaian 5G, kenderaan elektrik (EV), pusat data dan masa depan industri digital.
''Dengan memperkukuh sektor ini, Malaysia bukan sahaja mengekalkan peranan dalam rantaian bekalan global tetapi turut merangsang pertumbuhan dalam pelbagai industri berteknologi tinggi yang lain,'' katanya.