fb fb fb fb fb

Caruman mandatori pekerja asing mula berkuat kuasa bulan ini - KWSP

Foto hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2025 - Caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia akan berkuat kuasa bermula gaji bulan Oktober 2025, bagi caruman bulan November 2025.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam satu kenyataan memaklumkan, dasar baharu ini menetapkan kadar caruman bagi pekerja dan majikan masing-masing pada 2 peratus daripada gaji bulanan.

Peluasan liputan caruman ini merangkumi semua pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia, (tidak termasuk orang gaji domestik) yang mempunyai pasport dan pas kerja yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pelaksanaan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia merupakan langkah penting bagi KWSP dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial negara.

''Langkah ini menangani jurang dalam liputan keselamatan sosial dengan menyokong amalan pasaran buruh yang lebih adil serta menyediakan akses kepada simpanan persaraan untuk pekerja daripada semua kewarganegaraan.

''Pelbagai sesi libat urus telah dijalankan sejak beberapa bulan lepas bersama kementerian dan agensi kerajaan, wakil majikan dan pekerja asing, pertubuhan bukan kerajaan, serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan pelaksanaan dasar baharu ini berjalan lancar,'' katanya.

Bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan, KWSP juga turut bekerjasama dengan JIM untuk meningkatkan integrasi data dan sistem.

Kerjasama ini membolehkan perkongsian maklumat secara selamat melibatkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian melalui infrastruktur sedia ada dan prosedur yang telah dipersetujui.

Majikan yang belum berdaftar dikehendaki mendaftarkan syarikat mereka secara dalam talian melalui laman web rasmi KWSP atau di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara, bagi memastikan pematuhan dan peralihan yang lancar.

Pendaftaran pekerja bukan warganegara Malaysia sebagai ahli KWSP yang melibatkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian dilaksanakan secara automatik tanpa perlu hadir ke pejabat KWSP.

Majikan boleh menyemak secara dalam talian melalui i-Akaun (Majikan) untuk memastikan pendaftaran dilaksanakan dengan tepat.

Bagi pemegang pas lain, pendaftaran dan pengemaskinian maklumat boleh dilaksanakan melalui pejabat KWSP seperti biasa.

Pekerja disaran melengkapkan pendaftaran sebagai ahli KWSP dengan membuat pengemaskinian rekod cap ibu jari mulai Januari 2026 di pejabat KWSP berhampiran.

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN