fb fb fb fb fb

Mizuho Bank salur hampir AS$600 juta sokong pembangunan JS-SEZ

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Foto arkib/BERNAMA

PUTRAJAYA, 1 Oktober – Malaysia menerusi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menandatangani surat niat (LOI) bersama Mizuho Bank (Malaysia) Berhad bagi mengukuhkan kerjasama strategik dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Sejak perjanjian itu dimeterai, Mizuho Bank telah menyalurkan hampir AS$600 juta pembiayaan kepada pelanggan yang melabur di kawasan berkenaan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Mizuho mempunyai kedudukan istimewa untuk membawa masuk projek pemangkin dalam 11 sektor utama yang dipromosikan JS-SEZ, khususnya daripada pelabur Jepun.

“Penting untuk kita bekerjasama dengan rakan yang memahami potensi Malaysia serta minat pelabur yang ingin bertapak di sini. Mizuho berperanan sebagai jambatan dalam memberi maklumat dan kefahaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pertukaran LOI antara Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Mizuho Bank di sini, hari ini.

Tambah beliau, minat pelaburan yang direkodkan setakat ini meliputi sektor pembuatan makanan dan minuman, pusat data, tenaga boleh baharu serta industri kimia.

Kerjasama dengan Mizuho Bank memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu sokongan pembiayaan, promosi, penganjuran acara serta perkongsian maklumat pasaran.

Beliau turut menegaskan, usaha ini akan menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab ekonomi serantau.

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN