KUALA LUMPUR, 1 Oktober - Peratusan penduduk ASEAN yang hidup di bawah garis kemiskinan nasional pada 2023 menurun kepada 10.8 peratus daripada 13.3 peratus pada 2016, sekali gus meletakkan rantau ini di landasan kukuh untuk mencapai sasaran 2030.
Hasil dapatan utama itu diperoleh menerusi Laporan Kemajuan Indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ASEAN 2025 yang dilancarkan hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia yang juga Pengerusi Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 (ACSS15), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, data daripada pelbagai kementerian, jabatan serta agensi dikumpulkan melalui kerjasama rapat Pejabat Statistik Kebangsaan setiap Negara Anggota ASEAN.
Jelasnya, laporan itu berfungsi sebagai rujukan penting kepada para pembuat dasar, memberikan panduan tentang kemajuan, jurang data dan hala tuju strategik pemantauan SDG di rantau ini.
''Sepanjang tujuh tahun yang lalu, ASEAN telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan merentasi semua matlamat. 15 sasaran kini berada dilandasan yang betul, terutamanya dalam bidang seperti pembasmian kemiskinan, kesihatan, kesaksamaan gender, tenaga bersih dan kekuatan institusi.
''Sementara itu, 32 sasaran menunjukkan kemajuan sederhana, manakala 21 sasaran menunjukkan tanda-tanda kemerosotan atau mendatar,'' katanya berucap pada majlis pelancaran laporan itu secara maya.
Penemuan laporan sama turut mendapati, tenaga kerja kesihatan di rantau ini berkembang ketara dengan nisbah bilangan doktor meningkat daripada 6.7 kepada 8 bagi setiap 10,000 penduduk.
“Infrastruktur dan kesalinghubungan digital turut menunjukkan peningkatan ketara apabila akses kepada elektrik meningkat daripada 88.5 peratus kepada 95.7 peratus populasi.
Langganan jalur lebar tetap meningkat lebih dua kali ganda, daripada 5.7 kepada 11.8 bagi setiap 100 penduduk, manakala penggunaan internet melonjak daripada 50.6 peratus kepada 82.0 peratus.
Selain itu, keterangkuman ekonomi turut mencatat kemajuan dengan kadar pengangguran keseluruhan menurun daripada 3.9 peratus kepada 3.8 peratus.