fb fb fb fb fb

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS untuk hari ketiga berturut-turut

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Rabu, terus mencatatkan kenaikan untuk sesi ketiga berturut-turut berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu rendah selepas kerajaan Persekutuan AS menghentikan operasinya mulai hari ini.

Langkah itu akan menyebabkan data ekonomi dikeluarkan lewat termasuk laporan senarai gaji bukan ladang (NFP) AS yang dijadualkan pada Jumaat ini.

Pada 6.00 petang, mata wang tempatan naik kepada 4.2045/2095 berbanding dolar AS daripada 4.2050/2090 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata laporan NFP pada Jumaat ini mungkin akan ditangguhkan dan ini akan memberi impak kepada peniaga berikutan mereka tidak mempunyai data terkini untuk membuat keputusan.

"Langkah kerajaan AS menghentikan operasi telah menyebabkan situasi tidak menentu lebih ketara dan ini memberi impak negatif kepada dolar AS," katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit kekal dalam jajaran kecil berikutan pelabur mencari aset perlindungan lain seperti yen Jepun, emas dan bon Perbendaharaan AS.

"Ketidaktentuan pasaran menjadi lebih ketara disebabkan tiada data pekerjaan AS dikeluarkan dalam tempoh tersebut.

"Kekurangan maklumat mengenai pekerjaan AS menyebabkan aktiviti pasaran lembap walaupun pasaran masih bergantung pada prospek penurunan kadar faedah AS pada akhir tahun ini sebagai sokongan dalam jangka sederhana," katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik kepada 4.9327/9386 berbanding euro daripada 4.9405/9452 semasa ditutup semalam, bagaimanapun merosot kepada 5.6605/6672 berbanding pound daripada 5.6532/6586 dan rendah kepada 2.8561/8597 berbanding yen Jepun daripada 2.8420/8447 sebelum ini.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot kepada 3.2623/2665 berbanding dolar Singapura daripada 3.2604/2638 semasa ditutup semalam, berkurangan kepada 12.9929/13.0128 berbanding baht Thailand daripada 12.9744/9927 dan menurun berbanding rupiah Indonesia kepada 252.7/253.1 daripada 252.3/252.6 sebelum ini.

Ringgit rendah berbanding peso Filipina kepada 7.23/7.24 daripada 7.22/7.24. -BERNAMA

SITI AISHAH BINTI MD ISA