fb fb fb fb fb

FinTech & pembiayaan Islam Malaysia tarik minat Dubai perkukuh perdagangan

Sektor teknologi kewangan dan pembiayaan Islam Malaysia kini muncul sebagai antara tumpuan utama Dubai dalam usaha memperkukuh kedudukannya sebagai hab perdagangan global/RTM

KUALA LUMPUR, 25 November – Sektor teknologi kewangan dan pembiayaan Islam Malaysia kini muncul sebagai antara tumpuan utama Dubai dalam usaha memperkukuh kedudukannya sebagai hab perdagangan global.

Naib Presiden Eksekutif Perhubungan Antarabangsa Dubai Chambers, Salem Al Shamsi berkata pihaknya komited membuka laluan baharu kerjasama yang dapat merangsang aliran perdagangan serta pelaburan dua hala.

2511 BZ DUBAI POTENSI SEKTORSalem Al Shamsi/RTM

"Sektor tradisional seperti pembinaan dan perdagangan barangan pengguna cepat laris (FMCG) masih kekal kukuh. Namun, kini terdapat minat yang lebih meluas terhadap sektor baharu seperti teknologi kewangan (FinTech) dan pembiayaan Islam.

"Kami juga melihat peningkatan minat dari rantau ini terhadap kekuatan Dubai dalam sektor logistik serta rangkaian hub pasaran global yang meliputi Afrika dan benua kecil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini hari ini.

Salem turut optimis, perdagangan bukan minyak antara Malaysia dan Dubai mampu mengekalkan momentum pertumbuhan melepasi 20 peratus dari tahun ke tahun, sekali gus mengatasi nilai AS$4.9 bilion yang dicatatkan pada 2024.

Mengulas potensi eksport, beliau berkata Dubai telah mengenal pasti beberapa kategori produk berpotensi tinggi untuk pasaran Malaysia.

Ini termasuk bahan kimia organik dan bukan organik, alat ganti pesawat dan kapal angkasa, turbo-jet dan turbo-propeller, plastik, tembaga, besi, nikel serta kopi, teh dan produk tenusu.

MoU yang dimeterai turut merangkumi kerjasama dalam penganjuran misi perdagangan dan pelbagai acara perniagaan antara kedua-dua pihak.

Misi tersebut menghimpunkan wakil daripada 20 syarikat berpangkalan di Dubai, merangkumi sektor ICT dan inovasi, makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, farmaseutikal, bioteknologi, pakaian sedia dipakai, runcit, tekstil, pelancongan dan hospitaliti, kecantikan dan kosmetik, bahan binaan, kejuruteraan, minyak dan gas serta FMCG.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN