fb fb fb fb fb

Emas dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan susulan ketidakpastian tarif AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Mei - Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif akan didagangkan lebih tinggi minggu depan selepas para pelabur mula beralih kepada aset selamat di tengah-tengah ketidakpastian pasaran yang diperbaharui susulan perkembangan dalam dasar tarif Amerika Syarikat (AS).

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata,
ini berikutan keputusan mahkamah rayuan persekutuan AS untuk mengembalikan semula kuasa tarif Presiden Donald Trump selepas mahkamah rendah menggantung pengenaan tarif tersebut.

Terdahulu, Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS telah memutuskan bahawa tarif yang diumumkan oleh Trump adalah tidak sah. Bagaimanapun, pentadbiran Trump mencabar keputusan itu, mengakibatkan pemulihan tarif sementara proses rayuan berjalan.

Disebabkan ini, Innes berkata logam berharga itu berpotensi menguji tahap US$3,340 setiap auns troy.

"Kita mungkin melihat emas melonjak sekitar dua peratus tetapi perhatiannya akan kekal pada dolar US, yang akan menjadi pemacu utama. Kelemahan dolar akan menyokong harga emas," katanya kepada Bernama.

Di samping itu, pelabur juga akan memantau penunjuk ekonomi AS, terutamanya data pasaran buruh, angka inflasi, gaji bukan perladangan, kadar pengangguran serta indeks pembuatan Institut Pengurusan Bekalan bagi memperoleh gambaran lanjut mengenai pergerakan emas pada minggu akan datang.

Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Mei 2025 menurun kepada US$3,293.60 setiap auns troy daripada US $3,336.50 setiap auns troy dan kontrak Jun 2025 susut kepada US$3,312.20 setiap auns troy daripada US$ 3,349.70 setiap auns troy.

Kontrak Julai 2025, Ogos 2025 dan Oktober 2025 jatuh kepada US$3,325.90 setiap auns troy berbanding US$3,363.40 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan merosot kepada 256 lot daripada 1,854 lot yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 139 kontrak daripada 82 kontrak.

Berdasarkan penetapan tengah hari London Bullion Market Association pada 29 Mei, emas fizikal berada pada paras US$3,312.40 setiap auns troy. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF