fb fb fb fb fb

Ekonomi Malaysia suku kedua 2025 diunjur stabil, tumbuh 4.5 peratus

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Ekonomi Malaysia diunjur berkembang stabil sebanyak 4.5 peratus pada suku kedua 2025, sedikit meningkat berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Unjuran itu juga melebihi purata 4.0 peratus KDNK bulanan yang dianggarkan bagi tempoh April hingga Mei tahun ini.

''Pertumbuhan stabil ini menunjukkan bahawa faktor sokongan domestik seperti perbelanjaan pengguna yang kukuh dan kitaran pelaburan yang berterusan sedang mengimbangi tekanan luaran, ekoran tarif perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

''Indeks perdagangan runcit yang tumbuh 4.5 peratus bagi lima bulan pertama tahun ini mencerminkan peningkatan penggunaan domestik yang stabil, selepas mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus tahun lalu.

''Selain itu, kitaran pelaburan yang masih rancak turut menyokong pertumbuhan, seperti yang dilihat melalui lonjakan import barangan modal dan pertumbuhan kukuh pinjaman perbankan untuk sektor pembinaan industri, kilang serta tanah industri,'' jelas Maybank IB dalam nota penyelidikannya hari ini.

Angka rasmi KDNK bagi suku kedua 2025 dijadualkan diumumkan pada 15 Ogos ini.

Sementara itu, dalam nota penyelidikan berasingan, firma itu menyatakan, prospek perdagangan luar Malaysia kekal tidak menentu dan bergantung kepada hasil rundingan perdagangan yang sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat, menjelang tarikh akhir penguatkuasaan tarif balas 1 Ogos ini.

Pasaran turut dibayangi oleh ketidakpastian berhubung tarif ke atas produk tertentu, terutamanya komponen semikonduktor, yang merupakan antara eksport utama negara. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD