fb fb fb fb fb

Ekonomi Malaysia dianggar tumbuh 3.4 peratus pada suku keempat 2023

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR, 31 Januari- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menganggarkan ekonomi Malaysia tumbuh sebanyak 3.4 peratus pada suku keempat 2023, menunjukkan sedikit peningkatan daripada 3.3 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menerusi satu kenyataan hari ini berkata, secara khususnya, sektor perkhidmatan terus mengekalkan kedudukan sebagai pendorong utama prestasi ekonomi pada tempoh berkenaan, dengan pertumbuhan positif direkodkan di semua sektor lain.

Beliau berkata, bagi prestasi indikator ekonomi bulanan, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia, yang mengukur output sebenar dalam sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik mencatatkan peningkatan 0.6 peratus tahun ke tahun pada November 2023.

"Peningkatan marginal ini disokong oleh kenaikan dalam sektor perlombongan sebanyak 1.9 peratus, dan sektor elektrik pada 4.2 peratus.

“Bagaimanapun, sektor pembuatan mengalami penyusutan dengan mencatatkan negatif 0.1 peratus selepas dua bulan berturut-turut merekodkan pertumbuhan positif,” katanya.

Daripada segi nilai jualan, Mohd Uzir berkata jualan sektor pembuatan turun 2.6 peratus tahun ke tahun pada November 2023 kepada RM155.0 bilion, terutamanya disebabkan oleh penyusutan ketara dalam subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 10.8 peratus; dan subsektor peralatan elektrik dan elektronik yang merosot 5.3 peratus.

Dalam sektor perdagangan borong dan runcit, nilai jualan November 2023 merekodkan RM142.6 bilion, meningkat 6.2 peratus tahun ke tahun.

Katanya, pertumbuhan kukuh tersebut didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong, yang meningkat 6.2 peratus atau RM3.7 bilion kepada RM63.2 bilion.

“Ini diikuti oleh perdagangan runcit dan kenderaan bermotor dengan masing-masing mencatat pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus (+RM2.6 bilion) dan 12.7 peratus (+RM2.0 bilion),” katanya.

Sementara itu, kadar inflasi kekal pada 1.5 peratus pada Disember 2023.

Dari segi perdagangan, jumlah dagangan Malaysia menyusut 2.4 peratus daripada RM237.6 bilion pada November 2022 kepada RM231.8 bilion.

Eksport turun 5.9 peratus kepada RM122.1 bilion, manakala import meningkat 1.7 peratus kepada RM109.7 bilion, iaitu peningkatan tahunan untuk pertama kalinya sejak Februari 2023.

Imbangan dagangan kekal dalam lebihan sebanyak RM12.4 bilion, menyusut 43.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada Disember 2023, jumlah dagangan adalah RM225.1 bilion, dengan eksport berjumlah RM118.5 bilion dan import merekodkan RM106.7 bilion.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE