fb fb fb fb fb

Dagangan Bursa Malaysia mendatar pada sesi tengah hari

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 8 Disember - Bursa Malaysia menyaksikan dagangan yang mendatar pada tengah hari Jumaat berikutan sesi pagi yang turun naik dan menjejaki prestasi di peringkat serantau.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.68 mata kepada 1,443.53 dengan Petronas Chemicals menerajui aliran peningkatan kecil berkenaan.

Indeks penanda aras itu dibuka dengan menokok 1.12 mata lebih baik pada 1,443.97 daripada paras 1,442.85, semalam.

Sentimen pasaran adalah bercampur-campur dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 359 berbanding 348 manakala 442 kaunter tidak berubah, 1,188 tidak diniagakan dan 36 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.77 bilion unit bernilai RM864.15 juta.

Seorang peniaga berkata pelabur global masih menunggu pengumuman data penting penggajian bukan perladangan Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini selepas data awal tuntutan pekerjaan serta tawaran pekerjaan yang lebih perlahan dan dijangka mempengaruhi tindakan dasar Rizab Persekutuan AS (Fed) pada masa depan.

Data-data sedia ada hanya mengukuhkan lagi harapan untuk Fed mengekalkan Kadar Dana Fed bagi minggu depan apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka (FOMC) bermesyuarat pada 12-13 Disember ini.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Petronas Chemicals naik 10 sen kepada RM7.05, IHH menokok empat sen kepada RM5.86 dan Nestle naik RM1.30 kepada RM117.80.

CelcomDigi turun tiga sen kepada RM4.10 dan Public Bank susut satu sen kepada RM4.25.

Bagi kaunter paling aktif, Widad untung setengah sen kepada 47.5 sen, MQ Technology dan Leform masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 35.5 sen manakala Asdion naik 1.5 sen kepada 8.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 11.89 mata kepada 10,630.98, Indeks FBMT 100 naik 10.86 mata kepada 10,302.00 manakala Indeks FBM Emas Syariah menambah 16.05 mata kepada 10,744.11.

Indeks FBM 70 melonjak 40.93 mata kepada 13,918.17 dan Indeks FBM ACE naik 14.61 mata pada 5,079.34.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 2.93 mata kepada 16,338.67, Indeks Tenaga menambah 5.25 mata kepada 793.37 dan Indeks Perladangan menokok 16.64 mata kepada 6,971.05.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula naik 0.83 mata kepada 169.32. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF