fb fb fb fb fb

Dagangan Bursa Malaysia bercampur-campur pada sesi tengah hari

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan tengah hari bercampur-campur dengan indeks utama berada dalam zon positif, didorong oleh sokongan belian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.43 mata untuk mencatatkan paras 1,440.63 berbanding penutupan Isnin pada 1,439.2.

Indeks penanda aras yang dibuka 0.45 mata rendah pada 1,438.75, berlegar antara 1,437.98 dan 1,440.97 di sepanjang sesi.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 363 berbalas 336, manakala 414 kaunter tidak berubah, 1,263 tidak diniagakan dan 61 digantung.

Jumlah dagangan 1.61 bilion unit bernilai RM699.57 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, memandangkan peningkatan semula yang kukuh di Wall Street semalaman, bursa tempatan dijangka menerima sokongan belian terutamanya dalam saham teknologi.

Ia juga percaya saham berkaitan ternakan akan mendapat rangsangan sebaik sahaja pengumuman mengenai harga apung ayam dibuat.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menamatkan subsidi ayam dan kawalan harga ayam berkuat kuasa Rabu ini.

Kementerian berkata penjimatan berjumlah RM100 juta sebulan susulan langkah penamatan subsidi dan kawalan harga ayam akan membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan, termasuk bantuan tunai.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing menambah satu sen kepada RM9.00 dan RM4.16, Petronas Chemicals meningkat tujuh sen menjadi RM7.35, Tenaga menokok tiga sen kepada RM9.89, IHH Healthcare peroleh empat sen kepada RM6.00 manakala CIMB dan CelcomDigi tidak berubah, masing-masing pada RM5.70 dan RM4.20.

Bagi saham aktif, Classita, CSH Alliance dan Kanger, kesemuanya kekal pada 6.5 sen, 5.5 sen dan 13.5 sen manakala Impiana Hotels meningkat dua sen kepada 16 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 20.04 mata kepada 10,619.36, Indeks FBMT 100 meningkat 20.52 mata untuk mencatatkan paras 10,296.3 dan Indeks FBM Emas Syariah mengembang 23.92 mata kepada 10,825.86.

Indeks FBM ACE pula peroleh 9.35 mata kepada 5,014.95 dan Indeks FBM 70 melonjak 72.92 mata kepada 13,975.9.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.67 mata kepada 172.79 dan Indeks Tenaga meningkat 1.17 mata kepada 864.81.

Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 1.66 mata kepada 16,210.54 dan Indeks Perladangan turun 3.3 mata kepada 6,895.38.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN