fb fb fb fb fb

COP28, separuh pembiayaan baharu bank tempatan bercirikan hijau menjelang 2026 - BNM

Gabenor Bank Negara, Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Disember- Bank Negara Malaysia (BNM) meletakkan sasaran separuh daripada pembiayaan oleh bank tempatan menjelang 2026 akan menjurus kepada mitigasi perubahan iklim atau menyokong peralihan hijau.

Jumlah pembiayaan terkini oleh institusi kewangan Malaysia berkait tujuan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) adalah sekitar AS$43 bilion dolar Amerika.

Gabenor Bank Negara, Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour berkata sektor kewangan Malaysia memainkan peranan penting dalam memacu dana modal berkaitan iklim selari keperluan global.

"Saya juga berbesar hati dengan tumpuan yang semakin meningkat serta tindakan iklim yang jelas yang diambil oleh institusi kewangan di Malaysia.

Setakat ini, komitmen kewangan industri berjumlah lebih AS$43 bilion dolar Amerika untuk tujuan ESG. Menjelang tahun 2026, kami menjangkakan sekurang-kurangnya separuh daripada pembiayaan baharu oleh bank kami adalah sejajar dengan aktiviti yang menyokong iklim atau aktiviti peralihan," kata Shaik Abdul Rasheed ketika menyampaikan ucaptama pada Hari Kewangan Iklim Malaysia sempena persidangan COP 28 di Pavilion Malaysia, Dubai.

Tambahnya, BNM akan terus komited menyediakan ruang dasar yang menyokong inovasi ke arah mitigasi dan memperkukuh pengurusan risiko iklim dalam sektor kewangan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM