fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia rendah pada sesi awal

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 18 Januari- Bursa Malaysia memulakan dagangan Khamis dengan lebih rendah, menjejaki kelemahan semalaman Wall Street dalam ketidaktentuan berkaitan hala tuju kadar faedah utama Amerika Syarikat (AS) serta momentum hasil Perbendaharaan negara maju itu yang terus meningkat.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.02 mata kepada 1,489.19 berbanding paras 1,491.21 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 2.72 mata kepada 1,488.49.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 179 berbanding 102 manakala 236 kaunter lain tidak berubah, 1,735 tidak diniagakan dan 16 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 262.19 juta unit bernilai RM89.78 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah susulan pengukuhan ketara data jualan runcit bagi Disember yang menunjukkan ekonomi berdaya tahan, sekali gus melenyapkan harapan melihat penurunan kadar faedah dalam masa terdekat ini.

Selain itu, katanya, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS menokok 4.106 peratus susulan Purata Perindustrian Dow Jones dan Nasdaq yang masing-masing susut 94 mata dan 89 mata.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng susut 590 mata ke paras lebih rendah sejak November 2022 susulan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi suku kedua 2023 China yang lebih rendah daripada jangkaan ramai dan diburukkan lagi dengan penurunan harga hartanah.

Di pasaran tempatan, FBM KLCI suram dalam keadaan penurunan pasaran serantau yang ketara.

“Bagaimanapun, indeks penanda aras tempatan dapat mengatasi paras terendah harian berikutan aktiviti memburu saham-saham berharga rendah.

"Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks itu bergerak dalam julat 1,490 hingga1,500 susulan kecenderungan penurunan membabitkan kebimbangan keadaan semasa China serta data ekonomi AS.

“Penyusutan mendadak baru-baru ini yang membabitkan saham-saham bermodal kecil juga mungkin menjejaskan penyertaan runcit dalam jangka pendek," katanya kepada BERNAMA.

Sementara itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut dua sen kepada RM9.03, Public Bank turun satu sen kepada RM4.34, CIMB berkurangan enam sen kepada RM5.97, Tenaga Nasional rugi 12 sen kepada 10.32 manakala Petronas Chemicals meraih tiga sen pada RM6.79.

Bagi saham aktif, Artroniq turun 28.5 sen kepada 21 sen, Mercury Securities rugi 6.5 sen kepada 39 sen, Minetech Resources naik setengah sen kepada 17.5 sen, Pastech International menokok 1.5 sen kepada 31.5 sen manakala Leform tidak berubah pada 17.5 sen.

Di papan indeks pula menyaksikan Indeks FBM Emas berkurangan 16.63 mata kepada 11,086.18, Indeks FBM 70 turun 26.6 mata kepada 15,017.16, Indeks FBMT 100 kehilangan 15.72 mata kepada 10,745.07 dan Indeks FBM Emas Shariah menguncup 12.83 mata kepada 11,178.23 manakala Indeks FBM ACE turun 52.10 mata kepada 4,995.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 28.30 mata kepada 16,606.83 manakala Indeks Hartanah susut 1.92 mata kepada 886.44.

Indeks Perladangan meraih 1.02 mata kepada 7,173.59, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.44 mata pada 173.80 manakala Indeks Tenaga melonjak 1.71 mata kepada 851.64.-BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE