fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dijangka teruskan momentum meningkat minggu depan

Foto Hiasan / Fail

KUALA LUMPUR, 3 Februari - Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum positifnya minggu depan di tengah-tengah sentimen berhati-hati di pasaran serantau dan global, kata para peniaga.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata penilaian FBM KLCI kekal menarik dengan indeks petunjuk pasaran berjaya kekal di atas paras 1,500 selepas melepasi paras rintangan itu pada minggu sebelumnya.

“Kami menjangkakan momentum meningkat ini akan memacu indeks utama ke arah paras rintangan seterusnya pada 1,527.

“Sementara itu, paras sokongan segera adalah pada 1,500, diikuti 1,477. Oleh itu kami menjangkakan FBM KLCI berlegar sekitar paras 1,508–1,527 pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, bursa tempatan dipengaruhi oleh keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) serta arahan mahkamah ke atas syarikat hartanah utama China, Evergrande Group, yang menyebabkan berlakunya aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih.

Mesyuarat FOMC memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada 5.5 peratus yang membayangkan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) kini berada di tahap kemuncaknya.

Bagaimanapun, para pelabur masih mengambil pendekatan berhati-hati apabila Rizab Persekutuan AS mengulas bahawa tidak akan ada sebarang penurunan kadar pada Mac.

“Oleh itu pasaran mengambil kira kemungkinan penurunan kadar pada separuh kedua 2024 dan akan memantau rapat pengumuman pendapatan korporat serta laporan data pekerjaan pada lewat hari ini,” kata Thong.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama meningkat 10.30 mata kepada 1,516.18 daripada paras 1,506.28 sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 15.94 mata kepada 11,248.73, Indeks FBMT 100 naik 30.64 mata kepada 10,916.02, Indeks FBM 70 berkurangan 137.01 mata kepada 15,146.20, Indeks FBM Emas Shariah susut 20.83 mata kepada 11,268.83, dan Indeks FBM ACE jatuh 152.92 mata kepada 4,689.21.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 179.23 mata kepada 17,004.93, Indeks Tenaga naik 2.41 mata kepada 880.96, Indeks Perladangan menambah 3.49 mata kepada 7,169.21, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 2.05 mata kepada 171.87.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 15.31 bilion unit bernilai RM11.47 bilion daripada 14.42 bilion unit bernilai RM9.63 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 10.09 bilion saham bernilai RM10.39 bilion daripada 8.65 bilion saham bernilai RM8.53 bilion.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 2.47 bilion unit bernilai RM384.69 juta berbanding 2.26 bilion unit bernilai RM313.69 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 2.65 bilion saham bernilai RM685.19 juta daripada 3.48 bilion saham bernilai RM781.57 juta.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN