fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dijangka kekal lengang pada minggu dagangan pertama TBC

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 10 Februari- Bursa Malaysia dijangka kekal lengang minggu depan berikutan cuti Tahun Baharu Cina, kata penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pelabur perlu mengemudi beberapa data penting, terutamanya Indeks Harga Pengguna Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan pada Selasa.

“Sekiranya tiada sebarang kejutan inflasi yang lebih tinggi, Bursa Malaysia sewajarnya kekal disokong oleh prospek pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS pada akhir tahun ini, di samping sokongan pasaran dan ekonomi yang berterusan oleh penggubal dasar China,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata Bank of Thailand membayangkan kemungkinan kepada pengurangan kadar minggu ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana Bank Negara Malaysia mungkin memberikan isyarat yang mempunyai kecenderungan kepada pengurangan kadar.

“Situasi ini dikatakan positif terhadap pasaran tempatan. Melainkan terdapat sebarang kejutan dalam data inflasi AS selain tiada pengaruh China berikutan Tahun Baharu Cina, saya menjangkakan Bursa Malaysia akan berada pada julat dengan sedikit kecenderungan meningkat minggu depan,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng turut meramalkan pasaran lengang berikutan cuti panjang dan sesi dagangan yang berkurangan.

“Bagaimanapun, kami yakin kenaikan harga minyak mentah memberikan peluang dagangan kepada saham tenaga,” katanya kepada Bernama.

Rakuten Trade mengunjurkan FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) berlegar dalam julat 1,509-1,527 minggu depan, dengan paras rintangan segera pada 1,527 dan sokongan pada 1,500 diikuti dengan 1,477.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama menyusut 4.30 mata kepada 1,512.28 daripada 1,516.18 sebelum ini.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 3.71 mata kepada 11,245.02, Indeks FBMT 100 merosot 11.51 mata kepada 10,904.51, Indeks FBM 70 naik 64.13 mata kepada 15,210.33, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 17.35 mata kepada 11,286.18 dan Indeks FBM ACE menokok 133.0 mata kepada 4,822.21.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 123.96 mata kepada 16,880.97, Indeks Tenaga menokok 2.41 mata kepada 880.96, Indeks Perladangan meningkat 22.95 mata kepada 7,192.16, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.82 mata kepada 172.69.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 14.46 bilion unit bernilai RM9.47 bilion daripada 15.31 bilion unit bernilai RM11.47 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menguncup kepada 8.36 bilion saham bernilai RM8.35 bilion daripada 10.09 bilion saham bernilai RM10.39 bilion pada minggu terdahulu.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 3.10 bilion unit bernilai RM479.43 bilion berbanding 2.47 bilion unit bernilai RM384.69 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 2.92 bilion saham bernilai RM629.21 bilion daripada 2.65 bilion saham bernilai RM685.19 juta sebelum ini.

Pasaran akan ditutup pada Isnin (12 Februari) bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE