fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dijangka berada pada 1,500–1,530 minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 14 Jun- Indeks utama Bursa Malaysia dijangka berada antara 1,500 dan 1,530 minggu depan berikutan pasaran kekal berada di bawah tekanan dalam kebimbangan mengenai surat tarif unilateral yang dicadangkan oleh Washington dan ketegangan yang meningkat selepas serangan Israel ke atas Iran.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pasaran dijangka mudah terjejas dan diniagakan rendah dalam masa terdekat melainkan terdapat kemajuan positif pada hujung minggu untuk meredakan konflik tersebut tetapi suatu yang tidak mungkin dicapai.

“Dari aspek taktikal, saham minyak dan gas dijangka menawarkan peluang dagangan jangka pendek terutamanya untuk syarikat yang terlibat dalam aktiviti huluan atau yang sedang memperluas konsesi huluan mereka berikutan mereka berpotensi mendapat manfaat secara langsung daripada kenaikan harga minyak semasa,” katanya kepada Bernama.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peserta pasaran dinasihatkan untuk memantau ketegangan geopolitik yang sedang berlaku dan sebarang perkembangan berkaitan pendirian Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai tarif perdagangan AS-China.

“Kami juga percaya kenaikan harga minyak mentah boleh membuka peluang kepada pelabur untuk meneroka saham berkaitan minyak dan gas serta komoditi.

“Kami menjangka indeks petunjuk pasaran diniagakan dalam julat 1,500-1,530 mewakili paras sokongan dan halangan,” katanya.

Thong berkata jika ketegangan terus meningkat, paras sokongan kedua diunjurkan pada 1,485.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia bermula dalam julat positif pada awal minggu ini, didorong oleh perkembangan positif dalam rundingan perdagangan AS-China, pembelian saham oleh institusi tempatan dan aktiviti jualan oleh pelabur asing yang perlahan.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks barometer meningkat 1.32 mata kepada 1,518.11 daripada 1,516.79 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas naik 14.84 mata kepada 11,370.18, Indeks FBMT 100 menambah 20.35 mata kepada 11,144.04 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 0.31 mata kepada 11,329.53.

Indeks FBM 70 naik 72.14 mata kepada 16,368.71 manakala Indeks FBM ACE merosot 32.13 mata kepada 4,487.19.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.55 mata kepada 151.35 dan Indeks Tenaga naik 22.31 mata kepada 740.76.

Indeks Perladangan berkurangan 31.93 mata kepada 7,220.92, Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 16.42 mata kepada 1,777.72 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 60.06 mata kepada 17,648.25.

Jumlah dagangan melonjak kepada 13.89 bilion unit bernilai RM10.61 bilion daripada 9.80 bilion unit bernilai RM8.18 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 6.42 bilion unit bernilai RM9.47 bilion daripada 4.50 bilion unit bernilai RM7.21 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 5.97 bilion unit bernilai RM687.92 juta daripada 4.07 bilion unit bernilai RM533.43 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 1.50 bilion unit bernilai RM458.75 juta daripada 1.22 bilion unit bernilai RM432.22 juta pada minggu sebelumnya.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE