fb fb fb fb fb

New Energy Asia perkukuh keupayaan tempatan, fokus pembuatan pengecas EV

New Energy Asia Sdn. Bhd. menyasarkan untuk memulakan pembuatan peralatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) secara tempatan dalam tempoh satu hingga dua tahun / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Jun – New Energy Asia Sdn. Bhd. menyasarkan untuk memulakan pembuatan peralatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) secara tempatan dalam tempoh satu hingga dua tahun sebagai langkah memperkukuh industri EV negara dan membina keupayaan tempatan yang mampan.

Ketua Pegawai Operasi HICOM Engineering Sdn. Bhd. (HESB), Hazrin Fazail Haroon berkata sasaran tersebut bergantung kepada respons pasaran dan pembangunan kapasiti tenaga kerja tempatan, terutamanya dalam bidang perisian serta sokongan teknikal.

“Kami mahu mengubah model perniagaan daripada sekadar perdagangan kepada membina keupayaan sebenar dalam negara, termasuk menghasilkan produk perisian dan perkakasan yang boleh dieksport ke pasaran ASEAN,” katanya.

Pada peringkat permulaan, beliau berkata syarikat memberi tumpuan kepada sokongan selepas jualan dan pembekalan peralatan pengecasan kepada pengendali stesen (CPO), sebelum beralih secara berperingkat kepada pembuatan produk tempatan.

Hazrin turut memaklumkan pasukan teknikal tempatan telah dihantar ke China untuk menjalani latihan intensif, dan kini terlibat dalam kerja-kerja kalibrasi dan kemas kini sistem pengecas, bagi menjamin kebolehpercayaan dan standard tinggi produk yang ditawarkan.

New Energy Asia Sdn. Bhd. merupakan syarikat usaha sama antara HICOM Engineering Sdn. Bhd. (HESB) dan syarikat berpangkalan di China, Hangzhou Flash Charging New Energy Co. Ltd. (HFC), yang terlibat dalam penghasilan peralatan pengecasan EV berteknologi tinggi untuk pasaran Malaysia dan rantau ASEAN.

Kerjasama strategik itu membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kepakaran industri, jenama kukuh serta keupayaan operasi masing-masing, seterusnya menawarkan penyelesaian pengecasan EV yang cekap, boleh dipercayai dan berskala antarabangsa kepada pengguna di rantau ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN