fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka rendah

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 16 Jun- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin, meneruskan aliran penurunan minggu lepas, dipengaruhi oleh prestasi Wall Street yang rendah dalam situasi konflik meningkat di Timur Tengah antara Israel dan Iran, kata penganalisis.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.89 mata kepada 1,515.22 daripada 1,518.11 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.24 mata kepada 1,517.87.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan 258 kaunter rugi mengatasi 88 kaunter untung. Sebanyak 229 kaunter tidak berubah manakala 1,840 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 115.70 juta saham bernilai RM63.78 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata konflik menjadi bertambah buruk dengan kedua-dua negara melancarkan serangan udara.

Sehubungan itu, harga minyak mentah melonjak dengan minyak mentah Brent melepasi US$70 setong dan ditutup hampir US$75 setong.

Sementara itu, hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh 10 tahun meningkat kepada 4.407 peratus.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng merosot di bawah paras 24,000 berikutan ketegangan di Timur Tengah yang meningkat.

Dalam negara, FBM KLCI ditutup rendah di bawah paras 1,520 pada Jumaat lepas berikutan aliran penurunan serantau disebabkan situasi tegang di Timur Tengah.

“Berdasarkan ketidaktentuan dalam rundingan perdagangan terkini antara China dan AS, dengan situasi Iran-Israel, kami percaya peniaga akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sementara menantikan lebih banyak kejelasan.

“Oleh itu, kami menjangka indeks berada dalam julat 1,500 hingga 1,510 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, YTL Corporation merosot 7.0 sen kepada RM2.10, YTL Power International dan Gamuda, masing-masing berkurangan 6.0 sen kepada RM3.64 dan RM4.71, Hong Leong Financial Group susut 18 sen kepada RM16.18 serta SD Guthrie dan Sunway, masing-masing turun 5.0 sen kepada RM4.54 dan RM4.79.

Antara saham paling aktif diniagakan, Mpire Global dan Saudigold Group, masing-masing mendatar pada 11.5 sen dan 1.0 sen, Hibiscus Petroleum meningkat 9.0 sen kepada RM1.75, Bumi Armada naik 2.0 sen kepada 51 sen dan Velesto Energy menambah setengah sen kepada 19 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 33.39 mata kepada 11,336.78, Indeks FBMT 100 merosot 31.48 mata kepada 11,112.56 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 23.51 mata kepada 11,306.02.

Indeks FBM 70 berkurangan 86.67 mata kepada 16,282.04 dan Indeks FBM ACE susut 20.25 mata kepada 4,466.94.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 0.65 mata kepada 7,220.27 manakala Indeks Tenaga naik 15.22 mata kepada 755.98.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 46.68 mata kepada 17,601.57 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.54 mata kepada 150.81.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE