fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka kukuh dipacu sokongan belian saham wajaran tinggi

Bursa Malaysia / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Jun - Bursa Malaysia dibuka lebih kukuh pada Rabu, dengan indeks utama meningkat 0.46 peratus, didorong oleh minat belian dalam saham wajaran tinggi dan mengikut jejak Wall Street yang secara umumnya ditutup tinggi.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 7.06 mata kepada 1,524.01 daripada 1,516.95 semasa ditutup pada Selasa. Indeks petunjuk pasaran itu dibuka pada 1,520.86, dengan peningkatan 3.91 mata.

Sentimen pasaran adalah positif dengan 156 kaunter untung berbanding 74 kaunter rugi manakala 220 kaunter tidak berubah, 1,919 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan berjumlah 81.25 juta unit bernilai RM46.47 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street pada umumnya ditutup lebih tinggi berikutan peniaga berharap kepada penyelesaian positif daripada rundingan perdagangan yang sedang dijalankan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

“Walaupun AS dikatakan agak yakin mengenai rundingan itu, keadaan kekal tidak menentu kerana China masih berdiam diri,” katanya kepada Bernama.

Di dalam negara, FBM KLCI ditutup rendah sedikit, berkemungkinan disebabkan jualan asing yang berulang manakala minat terhadap ekuiti domestik agak suram sejak kebelakangan ini berikutan aktiviti dagangan yang perlahan sejak beberapa bulan lepas.

“Dengan ketiadaan insentif baharu, tiada tarikan untuk peniaga terlibat dalam pasaran tempatan. Oleh itu minat juga semakin berkurangan.

“Malah tawaran awam permulaan turut tidak tekecuali memandangkan kebanyakannya mencatatkan keuntungan kecil. Hari ini, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,510-1,520," katanya.

Antara saham wajaran tinggi, CIMB menambah enam sen kepada RM6.91, YTL naik lima sen kepada RM3.56, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.28, dan CelcomDigi dan YTL masing-masing naik tiga kepada RM3.81 dan RM2.05.

Bagi saham aktif, MPire naik setengah sen kepada 12 sen, Benalec menokok 1.5 sen kepada 10 sen, waran Eversendai tidak berubah pada 8.5 sen, KNM tidak berubah pada tiga sen, dan CTOS susut dua sen kepada 96 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 39.43 mata kepada 11,433.55, Indeks FBMT 100 naik 44.18 mata kepada 11,203.73, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 33.28 mata kepada 11,402.50.

Indeks FBM 70 naik 34.50 mata kepada 16,521.16 dan Indeks FBM ACE meningkat 4.14 mata kepada 4,514.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 64.06 mata kepada 17,758.37, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.27 mata kepada 152.18, dan Indeks Perladangan menokok 20.14 mata kepada 7,230.17.

Bagaimanapun, Indeks Tenaga susut 0.08 mata kepada 723.23.

- BERNAMA

SITI AISHA MELISA YUHANIZ