fb fb fb fb fb

Bank Dunia saran Belanjawan 2026 fokus disiplin fiskal, hasil negara

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan pada Jumaat ini diharap dapat memperkenalkan pendekatan lebih sistematik bagi membantu industri tempatan yang terjejas akibat tarif perdagangan baharu dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).

Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr. Apurva Sanghi berkata kerajaan juga perlu memberi tumpuan terhadap disiplin fiskal dan langkah memperkukuh hasil negara bagi memastikan perbelanjaan awam kekal seimbang tanpa meningkatkan beban hutang.

“Keadaan global ketika ini sangat tidak menentu dan sukar untuk dirancang. Sebagai contoh, baru-baru ini AS mengumumkan tarif baharu terhadap produk perabot, langkah ini jelas memberi kesan kepada sektor perabot Malaysia sekiranya ia dilaksanakan seperti diumumkan,” katanya dalam sesi taklimat Malaysia Economic Monitor di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, sektor semikonduktor yang kekal sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia juga memerlukan sokongan berterusan bagi memperkukuh kedudukan negara dalam rantaian bekalan global sektor berkenaan.

0710 BZ BANK DUNIA BELANJAWAN 2Dr. Apurva Sanghi/RTM

“Kelemahan struktur seperti kekurangan inovasi tempatan, ketidakupayaan untuk naik ke rantaian nilai lebih tinggi, serta peralihan dunia ke arah pengeluaran cip kecerdasan buatan (AI) berteknologi tinggi telah memberi cabaran besar kepada Malaysia. Negara ini belum mempunyai kelebihan dalam bidang tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr. Apurva menyarankan agar kerajaan memperkenalkan langkah baharu bagi memperkukuh kutipan hasil negara tanpa membebankan rakyat, memandangkan mekanisme sedia ada semakin kehilangan momentum.

“Apabila sebahagian besar rakyat sudah berada dalam sistem cukai, sukar untuk memperluasnya lagi tanpa kesan sampingan. Tidak boleh terus menaikkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dan tidak banyak ruang lagi untuk diperluas tanpa menanggung kesan berganda kerana sistem SST tidak menawarkan pulangan balik menyeluruh,” katanya.

Tambah beliau, mobilisasi hasil negara merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam Belanjawan kali ini bagi memastikan keupayaan fiskal negara kekal mampan dalam jangka panjang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN