KUALA LUMPUR, 7 Oktober -Kerajaan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan nilai eksport sebanyak RM150 juta menerusi persidangan pembangunan permainan video terbesar di Asia Tenggara, LEVEL UP KL 2025 yang berlangsung bermula 6 hingga 8 Oktober 2025.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan kemajuan pesat infrastruktur digital negara dengan liputan 5G menyeluruh.
Ini secara tidak langsung membolehkan permainan video dibangunkan dalam persekitaran lebih pantas, stabil dan berdaya saing.
"Saya baru sahaja ditunjukkan satu contoh dari Jepun, di mana mereka menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membangunkan permainan dalam tempoh yang jauh lebih singkat dan dengan kos yang lebih rendah.
"Perkara seperti ini mendorong saya untuk meneliti dengan lebih mendalam sejauh mana kita di Malaysia boleh menyesuaikan diri dan memanfaatkan teknologi baharu ini dengan cepat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan LEVEL UP KL 2025, di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan melalui MDEC turut memperkenalkan program insentif bernilai RM15 juta bagi memperkukuh kandungan digital tempatan merangkumi permainan video, animasi dan teknologi kreatif.
Langkah itu bertujuan membantu studio tempatan menghasilkan harta intelek (IP) asli, memperluas capaian pasaran serta meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
Antara inisiatif utama ialah Program Digital Games Testbed dengan peruntukan RM3.5 juta, yang menyokong pembangunan genre permainan baharu dan kerjasama bersama rakan antarabangsa.
Program itu menumpukan kepada inovasi, penerbitan bersama dan perkongsian ilmu, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau pembangunan permainan digital.
Jelas beliau, usaha itu bukan sekadar membina industri, tetapi juga bertujuan memberdayakan pencipta tempatan, memacu inovasi dan memastikan Malaysia terus bersaing dalam ekonomi digital global.