KUALA LUMPUR, 3 Jun- AmInvestment Bank Berhad melancarkan platform dagangan runcit terbaharu, AmEquities, hari ini dengan menawarkan kadar komisen kompetitif antara 0.05 peratus hingga 0.2 peratus untuk saham tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christopher Ng Kok Wai berkata platform itu sejajar dengan usaha pendigitalan Kumpulan AmBank, menyasarkan pelabur kini boleh berdagang dengan lebih yakin menerusi ciri yang lebih mesra pengguna dan selamat.
"Ciri paling tersendiri bagi platform baharu ini ialah keupayaannya untuk membenarkan pelabur menyesuaikan sepenuhnya papan pemuka dagangan mereka mengikut keutamaan peribadi mereka.
Ini membolehkan mereka berdagang seperti peniaga profesional dengan keyakinan dan kecekapan yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan platform dagangan baharu tersebut.
Platform dagangan baharu tersebut menawarkan pelbagai ciri canggih seperti papan pemuka boleh suai, data pasaran masa nyata, log masuk biometrik serta analisis portfolio menyeluruh.
Ia memberi kuasa kepada pengguna untuk meneroka pasaran dengan lebih cekap sambil menikmati pengalaman dagangan yang diperibadikan sepenuhnya.
Beliau turut menekankan bahawa platform itu mempunyai ciri keselamatan, kelajuan dan analitik pintar untuk memudahkan pengguna membuat keputusan yang lebih bermaklumat, selain menggalakkan golongan muda untuk kembali berdagang.
Tambahnya, platform itu turut menyokong dagangan antarabangsa termasuk di pasaran AS, Hong Kong dan Singapura, menjadikan ia antara yang paling komprehensif di Malaysia.