fb fb fb fb fb

KWSP catat pendapatan pelaburan RM18.31 bilion

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan RM18.31 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2025.

KUALA LUMPUR, 3 Jun - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM18.31 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2025.

Ia turun 13 peratus berbanding RM20.99 bilion yang dicatat untuk suku yang sama pada 2024.

Angka pendapatan pelaburan ini termasuk keuntungan mark-to-market sekuriti RM1.02 bilion, yang belum direalisasikan.

Selaras dengan polisi KWSP, keuntungan ini tidak akan diagihkan sebagai dividen.

Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Zulqarnain Onn dalam kenyataan menyebut, pasaran global menjadi tidak menentu pada awal tahun 2025.

Ia berikutan ketegangan perdagangan yang kembali memuncak dan ketidak-tentuan dasar.

Ketidaktentuan mengenai dasar perdagangan Amerika Syarikat telah mula memberi kesan kepada pasaran saham utama sepanjang suku walaupun pengumuman tarif dibuat pentadbiran Washington pada 2 April.

Sepanjang suku dalam tinjauan, ekuiti menyumbang sebanyak RM10.81 bilion, susut 23 peratus daripada RM14.02 bilion, yang dicatatkan pada suku pertama 2024.

Penurunan itu disebabkan prestasi yang lebih lemah di pasaran ekuiti global dan persekitaran pelaburan yang mencabar.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN