NEW YORK, 26 Jun-Calon muda berhaluan sosialis, Zohran Mamdani 33 mencipta kejutan besar apabila memenangi pemilihan utama Parti Demokrat untuk jawatan Datuk Bandar New York menewaskan bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo.
Dengan 95 peratus undi dikira, Mamdani mendahului dengan 43 peratus, mengatasi Cuomo.
Kemenangan itu turut diraikan tokoh-tokoh progresif ternama seperti Senator Bernie Sanders dan Ahli Kongres Alexandria Ocasio-Cortez, yang menyifatkan kemenangan berkenaan membuktikan suara rakyat tidak boleh dipadam oleh sesiapa pun.
Keputusan rasmi hanya akan diumumkan minggu depan berikutan sistem pengundian ranked-choice di New York, yang membenarkan pengundi memilih sehingga lima calon mengikut keutamaan.
Namun, kelebihan undi Mamdani dalam keputusan awal terlalu besar untuk ditewaskan oleh Cuomo atau mana-mana calon lain.
Dilahirkan di Uganda dalam keluarga berketurunan India, Mamdani bakal menjadi Datuk Bandar Muslim pertama dalam sejarah bandar New York. Beliau turut dikenali kerana kelantangnya menyokong rakyat Palestin.-REUTERS.