fb fb fb fb fb

Zelenskyy desak tindakan undang-undang antarabangsa ke atas Rusia, Putin

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy (kiri) dan Setiausaha Agung Majlis Eropah, Alain Berset selepas menandatangani pemeteraian penubuhan tribunal khas bagi membicarakan jenayah perang Rusia/Reuters

STRASBOURG, 26 Jun- Ukraine menggesa kerjasama politik dan perundangan antarabangsa bagi memastikan setiap penjenayah perang Rusia dihadapkan ke muka pengadilan, termasuk Presiden Vladimir Putin.

Gesaan itu disuarakan Presiden Volodymyr Zelenskyy ketika berucap dalam sesi Majlis Eropah, semalam.

Dalam majlis tersebut, beliau turut memeterai perjanjian dengan badan serantau itu untuk menubuhkan tribunal khas bagi membicarakan jenayah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Menurut Zelenskyy, langkah tersebut penting bagi memperkukuh prinsip keadilan global dan memastikan pelaku jenayah tidak terlepas daripada hukuman.

"Ia memerlukan kerjasama politik dan perundangan yang kukuh untuk memastikan setiap penjenayah perang Rusia dihadapkan ke muka pengadilan, termasuk Putin.

Yang penting, ia merupakan manifestasi komitmen Eropah terhadap keadilan, memastikan kejahatan dipertanggungjawabkan bukan semata-mata melalui kekerasan, tetapi menerusi undang-undang, mahkamah dan keputusan yang berasaskan kesalahan yang terbukti," kata Zelenskyy dalam ucapannya.

Sebelum itu, Zelenskyy turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di luar Sidang Kemuncak NATO yang berlangsung di The Hague.

Hasil pertemuan tersebut, Trump memaklumkan bahawa AS akan mempertimbangkan untuk membekalkan lebih banyak sistem peluru berpandu Patriot kepada Ukraine bagi membantu mempertahankan negara itu daripada serangan berterusan Rusia.

Sistem Patriot buatan AS merupakan komponen penting dalam usaha Ukraine untuk memintas peluru berpandu balistik yang semakin kerap dilancarkan ke arah bandar-bandar utama negara tersebut.

Dalam tempoh seminggu lalu, puluhan nyawa terkorban susulan serangan udara Rusia ke atas ibu negara Kiev serta bandar Dnipro di tenggara Ukraine.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM