GAZA, 22 Oktober - 87 rakyat Palestin terkorban di sini, menjadi mangsa serangan tentera negara haram Israel sejak gencatan senjata mula berkuat kuasa 10 Oktober lalu, dedah Kementerian Kesihatan Palestin.
Ini terbukti Zionis tetap berdegil mencabuli usaha untuk mencari damai di bumi Gaza.
Hanya dalam tempoh 24 jam yang lalu, 13 lagi nyawa diragut akibat operasi ketenteraan Israel di wilayah yang telah lama dikepung itu.
Tentera rejim Israel telah menahan tiga nelayan Palestin selepas melepaskan tembakan ke arah mereka di perairan Gaza.
Tindakan agresif ini mencerminkan keengganan Israel untuk mematuhi syarat gencatan senjata yang telah dipersetujui.
Pada hari sebelumnya, Pasukan Pertahanan Awam Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya empat individu terbunuh dan lima lagi cedera dalam dua serangan berasingan yang dilancarkan oleh Israel di timur Bandar Gaza.
Pergerakan Hamas menyatakan Israel melanggar gencatan senjata, sambil menegaskan mereka masih komited terhadap semua syarat perjanjian damai yang telah dipersetujui.
Namun, keganasan dari pihak Israel terus memusnahkan kehidupan dan infrastruktur di Gaza.
Perdana Menteri Zionis, Benjamin Netanyahu mengakui tindakan ganas tenteranya dengan 153 tan bom telah digugurkan ke atas sasaran di Gaza pada Ahad lalu.
Serangan zalim itu hanya menggunakan alasan kononnya tindak balas terhadap serangan Hamas, yang jelas dinafikan pihak Hamas.
Setakat ini, serangan tentera Zionis telah meragut nyawa hampir 70,000 rakyat Gaza di tanah air sendiri sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023. - REUTERS