PRAGUE, 22 Oktober – Prague akan mengharamkan perkhidmatan sewa skuter elektrik bermula Januari depan.
Tindakan itu selepas pihak berkuasa bandar menerima banyak aduan tentang gangguan dan bahaya yang berpunca akibat penggunaan kenderaan tersebut di laluan pejalan kaki dan kawasan awam.
Keputusan itu diumumkan selepas Majlis Bandaraya Prague meluluskan perubahan peraturan mengenai pengangkutan berkongsi pada Isnin lalu.
Menurut Timbalan Datuk Bandar, Zdenek Hrib, skuter elektrik tidak termasuk dalam peraturan baharu itu, sekali gus menamatkan perkhidmatan skuter elektrik sewaan di ibu negara Czech itu.
“Penggunaan skuter elektrik berakhir secara rasmi,” kata Hrib menerusi platform media sosial X.
Langkah ini menjadikan Prague antara beberapa destinasi pelancongan Eropah yang mengambil tindakan tegas terhadap skuter elektrik, seperti Paris dan Madrid yang telah mengharamkan perkhidmatan sewaan sama sekali.
Pihak berkuasa Prague berkata tindakan ini diambil selepas menerima aduan awam mengenai skuter yang membahayakan pejalan kaki serta menghalang laluan dan tempat letak kenderaan apabila ditinggalkan sembarangan.
Tambahan pula, kadar kemalangan melibatkan skuter elektrik didapati lebih tinggi berbanding basikal.
Syarikat pengendali skuter, Lime menyatakan kekesalan mereka terhadap keputusan tersebut. - REUTERS