ADDIS ABABA, 21 Oktober - Sekurang-kurangnya 14 maut, manakala 29 yang lain cedera dalam nahas kereta api di timur Ethiopia.
Media rasmi negara melaporkan kejadian berlaku kira-kira 2:00 pagi, waktu tempatan ketika kereta api penumpang itu dalam perjalanan sejauh 200 kilometer dari bandar Dewele, dekat sempadan Djibouti ke Dire Dawa.
"Kemalangan yang berlaku di laluan Dire Dawa-Dewele telah mengorbankan 14 orang dan menyebabkan kecederaan serius dan ringan kepada 29 orang lain," menurut catatan Facebook Dire TV, tanpa memberikan butiran lanjut.
Gambar yang dimuat naik menunjukkan beberapa gerabak terbalik dan remuk.
Kemalangan kereta api agak jarang berlaku di Ethiopia, negara kedua paling ramai penduduk di Afrika dengan kira-kira 130 juta penduduk.
Pada tahun 1985, lebih 400 orang terbunuh, manakala 500 cedera selepas kereta api dalam perjalanan dari Djibouti ke ibu negara Ethiopia, Addis Ababa jatuh ke dalam gaung. - AFP