fb fb fb fb fb

Zimbabwe mula mengundi dalam pilihan raya kali kedua

HARARE, 23 Ogos - Rakyat Zimbabwe pada Rabu mula mengundi dalam pilihan raya kali kedua yang diadakan selepas rampasan kuasa 2017 yang menggulingkan mendiang Presiden Robert Mugabe.

Kira-kira 6.6 juta pengundi didaftarkan untuk mengundi dalam negara yang mempunyai kira-kira 15 juta orang.

Undian dibuka pada pukul 7.00 pagi (0500 GMT) dan dijangka tutup pada 7.00 malam, (1700 GMT).

Bagaimanapun, beberapa pusat mengundi di Harare dan Bulawayo dilaporkan mengalami kelewatan kerana tidak menerima kertas undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Zimbabwe mengakui berkaitan kelewatan itu dan mahu bahagian pilihan raya mengambil kira perkara itu, kerana berpandangan pengundi mungkin memerlukan lebih masa untuk mengundi.

(FOTO REUTERS)

Pilihan raya itu dilihat penting memandangkan penyandang Presiden Emmerson Mnangagwa sedang mengintai peluang untuk mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua.

Beliau dicabar oleh calon pembangkang Nelson Chamisa dari parti Citizens Coalition For Change (CCC) dan calon pembangkang lain.

Di samping itu, rakyat Zimbabwe turut memilih ahli majlis tempatan dan Ahli Parlimen baharu.

Pilihan raya kali ini juga akan menentukan susunan baharu untuk Parlimen yang mempunyai 350 kerusi dan lebih 1,900 jawatan majlis tempatan. - REUTERS

Media Baharu