KIEV, 1 Januari- Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyatakan tekad negaranya untuk menamatkan pencerobohan Rusia yang sudah berlangsung hampir tiga tahun pada tahun 2025, dengan apa jua cara.
Pemimpin Ukraine itu menegaskan bahawa keamanan tidak akan datang sebagai hadiah tetapi perlu diperjuangkan.
"Tahun 2025 harus menjadi milik kita. Kita akan lakukan segalanya untuk menghentikan Rusia dan mengakhiri perang ini," kata Zelensky.
Tahun 2024 menjadi cabaran besar buat Ukraine, yang kehilangan tujuh kali lebih banyak wilayah berbanding tahun sebelumnya kepada Rusia.
Selain itu, kebimbangan memuncak mengenai pengurangan sokongan ketenteraan dan politik daripada Amerika Syarikat (AS) apabila Donald Trump memulakan tugas sebagai Presiden.
Pentadbiran Joe Biden pada Isnin mengumumkan hampir AS$6 bilion bantuan ketenteraan dan belanjawan untuk Ukraine, dalam usaha terakhir menyokong Kiev sebelum Trump mengambil alih.
Trump sebelum ini berjanji untuk menyelesaikan konflik dalam "24 jam" tetapi kenyataan itu menimbulkan kebimbangan Ukraine akan terpaksa menyerahkan wilayah yang kini dikuasai Kremlin sebagai pertukaran untuk keamanan.
Zelensky menegaskan pentingnya kekuatan Ukraine di medan perang dan dalam rundingan.
"Setiap hari pada tahun hadapan, kita semua mesti berjuang untuk Ukraine yang cukup kuat. Hanya Ukraine yang kuat, dihormati dan didengari," tambah Zelensky.
Beliau juga percaya Trump mampu mencapai keamanan, walaupun terdapat kebimbangan di kalangan rakyat Ukraine tentang kemungkinan perubahan dalam sokongan AS.
Sementara itu, rakyat Ukraine meluahkan keinginan agar tahun 2025 membawa keamanan.
"Saya mahu keamanan untuk Ukraine, supaya tiada lagi nyawa melayang.
"Impian semua orang sama. Ukraine menang dan semua wilayah kami dikembalikan," kata seorang guru, Kateryna Chemeryz.
Namun, ada yang menekankan pentingnya Ukraine menentukan masa depannya sendiri.
"Kita harus tentukan nasib kita sendiri tanpa bergantung pada Trump atau sesiapa pun," kata Tetiana, seorang penjawat awam.
Dalam pada itu, serangan udara Rusia terus menyasarkan infrastruktur tentera dan awam Ukraine hampir setiap hari manakala Ukraine meningkatkan serangan balas ke wilayah Rusia.
Serangan dron Ukraine pada Selasa menyebabkan kebakaran di depoh minyak Rusia, mencerminkan konflik yang masih berlarutan tanpa tanda pengakhiran.- AFP