TAIPEI, 1 Januari- Presiden Taiwan, Lai Ching-te, mengalu-alukan hubungan yang setara, bermaruah, sihat dan teratur dengan China.
Bagaimanapun, Lai mempersoalkan sama ada Beijing benar-benar menunjukkan niat baik terhadap Taiwan, apabila mengenakan sekatan terhadap sektor pelancongan dan pendidikan.
Lai, yang mula memegang jawatan pada Mei lalu, berkata dalam sidang media tahun baharu bahawa China menyekat pelancong dan pelajar mereka untuk ke Taiwan.
"Taiwan berharap dapat menjalinkan hubungan yang sihat dan teratur dengan China berdasarkan prinsip timbal balik dan maruah," katanya.
Lai turut mempersoalkan tindakan China, menekankan bahawa rakyat mereka boleh melawat negara lain seperti Amerika Syarikat dan Jepun tanpa sekatan, tetapi sebaliknya berlaku untuk Taiwan.
"Adakah ini benar-benar menunjukkan niat baik kepada Taiwan? Tidakkah mereka boleh melayan semua orang secara setara?" tambah beliau.
Ketegangan terus meningkat dengan latihan ketenteraan harian China di sekitar Taiwan, termasuk dua siri latihan perang besar tahun lalu.
Presiden China, Xi Jinping pula menegaskan bahawa "penyatuan semula dengan Taiwan tidak boleh dihalang."
Lai menggesa demokrasi global untuk bersatu menghadapi ancaman daripada negara kuasa besar seperti China dan Rusia, selain menekankan keperluan untuk memperkukuh kerjasama dalam pertahanan dan keselamatan.
"Saya berharap pada tahun baharu ini, negara-negara demokratik dapat lebih bersatu untuk mencapai keamanan, demokrasi dan kemakmuran," kata Lai.- REUTERS