fb fb fb fb fb

Milan kuat kuasa larangan merokok di kawasan awam

Foto Reuters

MILAN, 1 Januari- Perokok di Milan, Itali kini berdepan denda antara 40 hingga 240 euro (RM200 hingga RM1,200) jika merokok di jalan raya atau kawasan awam sesak.

Ini selepas larangan merokok paling ketat di negara itu berkuat kuasa, hari ini.

Larangan tersebut adalah sebahagian daripada peraturan kualiti udara yang diluluskan pada 2020 oleh majlis bandar raya Milan.

Sejak 2021, merokok telah dilarang di taman, taman permainan, perhentian bas dan fasiliti kemudahan sukan.

Larangan terbaru itu meliputi semua ruang awam termasuk jalan raya kecuali kawasan terpencil dengan jarak sekurang-kurangnya 10 meter dari orang lain.

Langkah berkenaan bertujuan mengurangkan pencemaran udara dan melindungi kesihatan awam, selain mengurangkan risiko perokok pasif, terutama di kawasan yang kerap dikunjungi kanak-kanak.

"Merokok menyumbang kepada pencemaran yang teruk. Dalam era perubahan iklim, langkah ini boleh membantu mengurangkan kesan buruk pencemaran," kata Stellina Lombardo, seorang penduduk bukan perokok.

Namun, tidak semua menyambut baik peraturan itu.

"Larangan ini terlalu berlebihan. Bagi saya, ia mengehadkan kebebasan individu," kata Morgan Ishak, seorang penduduk Milan yang juga seorang perokok.

Milan, yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas dan terletak di Lembah Po yang perindustrian, adalah antara bandar paling tercemar di Eropah.

Larangan itu turut menjadi persediaan menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan-Cortina 2026.

Walaupun rokok elektronik dikecualikan daripada larangan tersebut, statistik menunjukkan hanya 19 peratus rakyat Itali adalah perokok, lebih rendah daripada purata 24 peratus di Kesatuan Eropah.

Dengan harga rokok sekitar enam euro (RM30) sekotak, Itali mempunyai antara harga rokok termurah di Eropah.

Namun, kerajaan Itali melaporkan 93,000 kematian setahun dikaitkan dengan tabiat merokok, yang menjadi penyebab utama kanser paru-paru di dunia.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM