fb fb fb fb fb

Pelajar Serbia protes, tuntut keadilan tragedi berdarah di Novi Sad

Foto AFP

BELGRADE, 1 Januari- Ribuan pelajar universiti di Belgrade dan dua bandar lain di Serbia mengadakan protes malam tahun baharu yang berlanjutan hingga Rabu, menuntut keadilan atas tragedi runtuhan bumbung stesen kereta api di Novi Sad, November lalu.

Kejadian pada 1 November itu meragut 15 nyawa, termasuk seorang mangsa yang meninggal dunia di hospital beberapa minggu kemudian.

Tragedi di stesen kereta api yang baru diubah suai itu mencetuskan kemarahan rakyat, dengan ramai menyalahkan rasuah dan kelemahan pengawasan projek pembinaan sebagai punca insiden tersebut.

Di Belgrade, pelajar universiti berarak melalui pusat bandar di tengah sambutan tahun baharu yang dianjurkan pihak berkuasa tempatan.

Selain Belgrade, pelajar di Nis dan Novi Sad turut mengadakan demonstrasi.

Di ketiga-tiga bandar, peserta protes bertafakur selama 15 minit tepat tengah malam untuk memperingati 15 mangsa tragedi, di saat bunga api tahun baharu mewarnai langit.

Protes itu menyusuli dakwaan rasuah yang melibatkan projek rekonstruksi stesen kereta api tersebut.

Seramai 13 individu, termasuk bekas menteri pengangkutan, Goran Vesic yang meletakkan jawatan beberapa hari selepas insiden telah didakwa dalam kes berkenaan.

Presiden Serbia, Aleksandar Vucic menyatakan bahawa "semua tuntutan pelajar telah dipenuhi" dan mendakwa protes ini kini bersifat politik.

Namun, pelajar terus menuntut kebertanggungjawaban yang lebih jelas, terutamanya selepas wakil kerajaan menuduh mereka "menerima bayaran untuk protes" dan "menjadi alat perisikan asing."

Kerajaan telah mendedahkan dokumen berkaitan projek kontroversi itu kepada umum, diikuti tindakan sama oleh Pejabat Pendakwa Raya.

Sebagai usaha meredakan kemarahan rakyat, pelbagai subsidi untuk golongan muda diumumkan dalam beberapa minggu kebelakangan.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM