fb fb fb fb fb

Tiada siapa boleh halang penyatuan China dan Taiwan- Jinping

Foto REUTERS

BEIJING, 31 Disember – Presiden China, Xi Jinping, menegaskan bahawa “tiada siapa boleh menghentikan” penyatuan dengan Taiwan dalam ucapan sempena tahun baharu yang disampaikan pada Selasa.

Beijing menganggap pulau yang diperintah secara autonomi itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk membawa Taiwan di bawah kawalannya.

China telah meningkatkan tekanan terhadap pulau demokratik itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk melancarkan tiga pusingan latihan ketenteraan besar sejak Presiden Taiwan, Lai Ching-te, mengambil alih jawatan pada Mei.

Latihan ketenteraan terbaharu, yang diadakan awal bulan ini, dilaporkan merupakan yang terbesar dalam beberapa tahun menurut pegawai Taiwan, walaupun Beijing belum mengesahkan secara rasmi operasi tersebut.

“Rakyat China di kedua-dua belah Selat Taiwan adalah satu keluarga.

"Tiada siapa boleh memutuskan hubungan darah kami, dan tiada siapa boleh menghentikan arus sejarah penyatuan semula tanah air,” kata Xi dalam ucapan yang disiarkan menerusi media rasmi negara.

Kenyataan Xi dibuat hanya beberapa minggu sebelum Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari.

Taiwan kekal sebagai isu utama dalam hubungan tegang antara Beijing dan Washington, yang secara rasmi tidak mengiktiraf Taiwan tetapi menjadi sekutu strategik dan pembekal senjata terbesar pulau tersebut.

Hubungan AS-China dijangka menjadi lebih tegang selepas Trump mengambil alih jawatan, dengan beliau berikrar untuk mengenakan lebih banyak tarif sebagai hukuman terhadap apa yang disifatkannya sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh China.

Beijing, bagaimanapun, menafikan tuduhan tersebut.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD